50 penagih dadah ditahan dalam Op Sarang

Iklan
Antara individu yang ditahan dalam Op Sarang sekitar ibu kota pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Seramai 50 individu disyaki penagih dadah ditahan polis dalam Op Sarang di tiga lokasi 'port' penagih di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi pada jam 3.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Operasi dijalankan di sekitar pasar dan hotel bajet di Jalan Raja Bot, Jalan Chow Kit dan Jalan San Peng yang menjadi lokasi tumpuan penagih," katanya kepada media di Balai Polis Chow Kit di sini.

Mohamad Zainal berkata, kebanyakan individu yang ditahan itu adalah pekerja di Pasar Chow Kit.

Iklan

"Kita juga dapat mengenalpasti pembekal dadah menerusi operasi yang dijalankan ini.

"Mereka masih dalam radar polis dan akan diambil tindakan, ada di antara mereka sudah ditahan dan ada yang masih beroperasi," katanya.

Iklan

Mohamad Zainal memaklumkan kesemua individu yang ditahan itu di bawa ke Balai Polis Chow Kit untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.