Ketua jabatan minta rasuah perkhidmatan seks ditukar serta-merta

Iklan
Safar Untong

K0TA KINABALU - Ketua jabatan yang dilaporkan meminta rasuah perkhidmatan seks daripada seorang wanita dipindahkan serta-merta sementara menunggu prosiding selanjutnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong berkata, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memandang serius laporan media berhubung penahanan seorang ketua jabatan di peringkat daerah tersebut.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri sangat menitik beratkan integriti dan tatalaku penjawat awam negeri seperti yang dijelaskan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008.

"Sehubungan itu, pegawai yang melanggar peraturan atau terbabit sebarang aktiviti bertentangan dengan peraturan dan undang-undang akan diambil tindakan bersesuaian.

Iklan

"Pegawai terbabit akan ditukar serta-merta sementara menunggu prosiding selanjutnya diambil oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:Ketua jabatan minta rasuah seks ditahan SPRM

Iklan

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dalam siasatan berkenaan.

Pada Sabtu, SPRM Sabah mengesahkan seorang lelaki berusia 51 tahun yang bertugas di sebuah jabatan di Keningau ditahan selepas disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita pada Jumaat.