Beli sendiri vaksin: Sarawak tulis surat kepada kerajaan Persekutuan

Iklan
Amar Douglas Uggah Embas

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak telah menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan mengenai hasratnya membeli sendiri vaksin Covid-19 untuk negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, surat itu dihantar kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Khamis.

Iklan
Iklan

"Saya telah menghantar surat kepada Khairy... saya memberitahu beliau bahawa Sarawak memang berhasrat untuk membeli vaksin.

"(Pembelian vaksin itu akan dibuat) sekiranya vaksin yang dibekalkan kerajaan Persekutuan tidak dapat memenuhi kehendak jadual program pemvaksinan di Sarawak yang dijadualkan selesai pada Ogos depan,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 di sini pada Khamis.

Iklan

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, beliau belum menerima sebarang permohonan rasmi dari mana-mana negeri untuk pembelian vaksin Covid-19.

Menurut Khairy, pihaknya tidak mempunyai masalah jika kerajaan negeri bercadang membeli vaksin sendiri dan boleh memberikan kebenaran kepada kerajaan negeri untuk berbuat demikian. - Bernama

Iklan