SPA sedia luluskan segera permohonan petugas barisan hadapan KKM

Iklan
Zainal Rahim menunjukkan anugerah Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Puan Sri Datuk Nik Hasmah Nik Kadir selepas istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Pulau Pinang 2020 daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Setia Spice Convention Centre, Georgetown pada Rabu. - Foto Bernama

GEORGETOWN - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersedia memberikan kelulusan segera kepada permohonan jawatan petugas barisan hadapan yang diperlukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya akan memastikan pelantikan petugas KKM dibuat secara cekap dan berkesan, supaya tidak berlaku kelewatan bagi keperluan khas.

Iklan
Iklan

"Saya dimaklumkan KKM perlukan lebih 11,000 petugas baharu bagi mendepani Covid-19, sekarang ini dan bagi tempoh dua minggu lepas sahaja hampir 6,000 orang telah dilantik dalam KKM, jika (KKM) perlukan lagi SPA akan lantik ikut keperluan KKM.

"Ketika dalam pendemik Covid-19 sekarang ini, SPA memang buat lantikan tambahan bagi petugas KKM seperti jururawat dan doktor, ia dibuat secara cekap, cepat serta berkesan, supaya tidak berlaku kelewatan dan kami di SPA memainkan peranan yang cukup penting, bagi memastikan penjawatan dilantik segera kerana ia keperluan khas kepada KKM,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, semua lantikan itu dibuat secara kontrak dan akan diserap sebagai petugas tetap, selepas KKM melihat komitmen serta keupayaan mereka dalam menjalankan tugas.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, proses pengambilan penjawat awam menerusi SPA, tetap berlangsung seperti biasa iaitu membabitkan kira-kira 28,000 calon setiap tahun, walaupun negara berdepan tekanan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

Iklan

Katanya, kekosongan jawatan itu berikutan penjawat awam yang bersara iaitu kira-kira 25,000 orang setiap tahun, dan keperluan kementerian serta jabatan yang ingin mendapatkan pertambahan pekerja berdasarkan keperluan dasar-dasar baharu.

"Covid-19 tidak mempengaruhi kekosongan jawatan yang ada dalam perkhidmatan awam dan SPA membekalkan pekerja setiap tahun bagi keperluan jabatan, setiap tahun terdapat 28,000 kekosongan bagi jawatan tetap, manakala ribuan lagi untuk penjawatan kontrak,” katanya.

Terdahulu, Zainal Rahim mendahului senarai penerima pada istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-82, Yang Dipertuan Negeri Tun Abdul Rahman Abbas yang berlangsung di Setia Spice Convention Centre, di sini pada Rabu.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 11 tahun di Pulau Pinang, menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri Utama. - Bernama