Tiada perpecahan dalam Pas

Iklan
MOHD KHAIRUDDIN

PUTRAJAYA – Pemimpin Pas mengesahkan tiada perpecahan yang berlaku dalam parti itu mahupun usaha mana-mana pihak untuk menyingkirkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Pas mempunyai kehebatan daripada segi tarbiahnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua ahli parti itu wala (setia) terhadap presiden parti.

"Tidak ada perpecahan dalam menguruskan parti sebaliknya kita bergerak cergas untuk hadapi PRU (pilihan raya umum) akan datang, insya-ALLAH,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021, di sini pada Selasa.

Mohd Khairuddin yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengulas berhubung desas-desus mengenai kewujudan dua kumpulan dalam parti itu.

Iklan

Dua kumpulan dimaksudkan ialah ‘geng publika’ yang dikatakan kumpulan pro Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ‘geng ustaz’ yang memihak kepada UMNO dan dikatakan cuba untuk menyingkirkan Abdul Hadi.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, khabar-khabar angin sedemikian bukanlah berita-berita yang patut disebarkan oleh pihak media.

Sebaliknya, beliau berkata, adalah lebih elok sekiranya media dapat memberikan fokus terhadap apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini.

"Kerajaan PN gagah dan insya-ALLAH, Pas akan terus bersama dengan PN membuat yang terbaik untuk rakyat,” katanya.