17 pengedar dadah di Lahad Datu kena cekup

Iklan
Usaha agresif polis membanteras jenayah narkotik di Lahad Datu membawa kepada penahanan 17 pengedar dadah dalam tempoh dua bulan ini.

LAHAD DATU - Usaha agresif polis membanteras jenayah narkotik di Lahad Datu membawa kepada penahanan 17 pengedar dadah dalam tempoh dua bulan ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, tangkapan itu membabitkan warga asing serta tempatan dengan nilai rampasan dadah sebanyak RM50,921.

Iklan
Iklan

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pengedaran atau penyalahgunaan dadah di daerah ini diminta melaporkan kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Terbaharu, Rohan Shah berkata, pihaknya menahan dua lelaki pendatang haram serta merampas dadah jenis syabu seberat 1.3 kilogram di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Jumaat lepas.

Iklan

Dalam kejadian 6 petang itu, suspek berumur 28 dan 43 tahun yang menaiki kereta itu bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas polis.

"Polis menemukan bungkusan berisi peket syabu bernilai RM36,297 di dalam kenderaan dinaiki kedua-dua suspek, selain wang tunai RM3,000," katanya dan menambah ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dadah.

Iklan

Rohan Shah berkata, pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras kegiatan membabitkan jenayah narkotik dari masa ke masa. - Bernama