Penduduk Kubang Jelai bantah pemindahan anjing dan kucing

Iklan
Dr Hayati menunjukkan lokasi gudang yang akan menjadi penempatan pusat haiwan terbiar Pakmi Shelter ketika sidang akhbar di Pendang pada Sabtu.

PENDANG - Penduduk Kampung Kubang Jelai di sini membantah tindakan memindahkan anjing dan kucing dari pusat pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar ke sebuah gudang persendirian di kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kubang Jelai, Md Daud Rusdi Hassan berkata, kira-kira 700 penduduk di kampung itu tidak mahu haiwan itu dipindahkan di kampung mereka kerana boleh menyebabkan bunyi bising daripada salakan anjing dan pencemaran bau.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majoriti penduduk di kampung tersebut adalah beragama Islam dan pemindahan ke lokasi di sebuah gudang dianggap sangat tidak sesuai.

Md Daud Rusdi Hassan

"Kami mendapat tahu bahawa Ustaz Ebit Lew akan menyewa sebuah gudang di kampung ini menerusi akaun Facebooknya pada Khamis. Kami agak terasa hati sebab sini penduduk majoriti Islam.

Iklan

"Gudang itu adalah hak persendirian salah seorang penduduk kampung ini tapi kehadiran anjing akan mengganggu penduduk dengan bunyi salakan anjing serta bau yang tidak menyenangkan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai di sini.

Iklan

Sementara itu, Md Daud berkata, pihaknya berusaha menghubungi Ebit Lew, namun gagal.

Menurutnya, laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang pada Jumaat berhubung perkara tersebut.

"Penduduk bimbang sisa buangan najis haiwan ini disalirkan ke sungai (tali air MADA) berhampiran kerana ia menjadi sumber air hampir 100 hektar sawah di kawasan itu," katanya.

Md Daud (kanan) menyerahkan memorandum bantahan penduduk Kampung Jelai kepada Dr Hayati di PKWR DUN Tokai pada Sabtu.

Sehubungan itu, katanya, penduduk kampung akan membuat demonstrasi secara aman pada Ahad bagi membantah perkara berkenaan.

Sementara itu, Dr Hayati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri untuk meminta Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memberikan masa kepada kerajaan negeri mencari tempat baharu.

Menurutnya, sudah ada beberapa cadangan tempat lain yang jauh dari penempatan ramai untuk dijadikan pusat pengurusan anjing dan kucing tersebut, namun lokasi masih dirahsiakan.

"Dalam mesyuarat lepas, tidak ada pegawai daerah yang sanggup menerima penempatan haiwan ini. Tapi selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri minggu depan, kita harap ada solusi terbaik untuk cari tempat yang sesuai dan tidak mengganggu persekitaran masyarakat," katanya.