Mbappe masih berteka-teki

Iklan
Mbappe masih berteka-teki mengenai masa depannya dan belum memberikan sebarang komitmen berhubung masa depannya bersama PSG.

PENYERANG Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe mengakui gembira bersama gergasi Legue 1 itu namun tidak akan memutuskan masa depannya berdasarkan kepada kejayaannya dalam satu perlawanan.

Ia sebagai respons kepada khabar angin yang kerap mengaitkan pemain muda Perancis itu dengan pasukan di La Liga dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Iklan
Iklan

Bagi Mbappe, kehadiran Mauricio Pochettino ke PSG membawa nafas baharu kepada prestasi pasukan itu.

"Ini merupakan perlawanan penting bagi kami. Kami datang dengan penuh semangat dan memenangi perlawanan dengan penuh bergaya.

Iklan

"Kami memenangi perlawanan tapi belum memenangi apa-apa kejuaraan. Saya inginkan yang terbaik untuk diri sendiri dan berusaha memberikan yang terbaik.

"Adalah bodoh untuk menentukan masa depan saya dalam satu perlawanan sahaja. Saya perlu melihat ke depan untuk jangka masa panjang.

Iklan

"Saya gembira di sini dan kemenangan seumpama ini menjadikan saya lebih bahagia. Jersi PSG ini adalah baju yang saya sangat sayang,” katanya.

Pada aksi awal pagi Rabu, PSG membenam Barcelona 4-1 di Nou Camp dengan Mbappe menjadi watak utama menjaringkan hatrik pada pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah.

Kontrak Mbappe bakal berakhir hujung musim depan namun belum memberikan komitmen baharu di Parc des Princes.

Dalam pada itu, Pochettino memuji persembahan Mbappe dan menyifatkan pemain muda itu antara yang terbaik ketika ini.

"Seperti yang kita ketahui, bola sepak ialah sukan berpasukan dan ketika kelab itu sedang kuat, dia merupakan individu yang menyinar.

"Dia telah melakukan perkara luar biasa pada perlawanan pertama ini. Masih berbaki 90 minit dan kita tahu mereka mempunyai pemain hebat,” katanya.

Mbappe menjadi pemain ketiga menjaringkan hatrik ke atas Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas Faustino Asprilla melakukannya untuk Newcastle dan Andriy Shevchenko melakukannya untuk Dynamo Kyiv 1997.