Petronas pastikan keselamatan pekerja di Myanmar

Iklan
Petronas kini sedang meningkatkan usaha dan akan terus berhubung dengan mereka yang terlibat di pelantar minyak Yetagun di perairan Myanmar. - Foto AFP

SHAH ALAM - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar, Wisma Putra dan semua pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan keselamatan 155 pekerja kontraktornya daripada konflik rampasan kuasa yang berlaku di negara itu.

Petronas dalam satu kenyataan berkata, syarikat tersebut kini sedang meningkatkan usaha dan akan terus berhubung dengan mereka yang terlibat di pelantar minyak Yetagun di perairan Myanmar selain memastikan bekalan barang keperluan mencukupi.

Iklan
Iklan

Dalam kenyataan sama, Petronas turut memaklumkan seramai 36 pekerja lain di bawah syarikat kontraktor yang dilantik serta dua kakitangan kini sedang menjalani kuarantin Covid-19 di sebuah hotel berdekatan.

"Keselamatan dan kesejahteraan mereka serta keluarga adalah keutamaan kami," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambah Petronas, pelantar minyak Yetagun di Laut Andaman adalah milik mereka namun pekerja terbabit merupakan kakitangan sebuah syarikat kontraktor yang dilantik.

Terdahulu sebuah akhbar tempatan melaporkan seramai 200 pekerja rakyat Malaysia yang bertugas di pelantar minyak berkenaan terputus hubungan dan bekalan disebabkan konflik rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar.

Iklan

Kesemua pekerja terbabit dikatakan terputus hubungan dengan daratan dan kehabisan bekalan makanan.

Malah perkhidmatan helikopter yang digunakan sebagai pengangkutan utama pekerja pelantar minyak juga terhenti kerana didakwa dikawal oleh junta tentera.