Belum capai tahap cemerlang

Iklan
Mohamad Norza Zakaria berkata secara keseluruhannya beliau tetap berpuas hati terutamanya melihat aksi barisan pemain muda dalam dua kejohanan di Thailand.

SKUAD badminton negara menamatkan saingan dalam dua kejohanan Terbuka Thailand di Bangkok yang berakhir pada Ahad tanpa sebarang gelaran juara.

Bagi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, secara keseluruhannya beliau tetap berpuas hati terutamanya melihat aksi barisan pemain muda.

Iklan
Iklan

"Saya cuma kata berpuas hati, tapi pencapaian itu bukan dianggap cemerlang. Ini satu permulaan memuaskan daripada skuad badminton negara selepas 10 bulan tidak beraksi dalam sebarang pertandingan.

"Jadi masih banyak tugas perlu dilaksanakan dan kelemahan yang harus diperbaiki setiap pemain. Ini adalah tugas Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Iklan

"Baik para pemain mahupun barisan kejurulatihan, mereka perlu mempertingkatkan lagi tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik muncul sebagai satu-satunya wakil Malaysia beraksi di pentas final Terbuka Thailand pada Ahad.

Iklan

Bagaimanapun, impian mereka memburu gelaran sulung tahun ini tidak kesampaian apabila tewas 13-21, 18-21 kepada beregu nombor tujuh dunia dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin.

Gandingan itu turut menidakkan hajat beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada aksi final siri pertama Terbuka Thailand minggu lalu.

Dalam pada itu, Mohamad Norza meminta jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan tidak membimbing pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia umpama pemain yang sudah berada dalam 'kelas atasan'.

"Saya harap Hendrawan tidak melayan Zii Jia sama seperti dia telah menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei. Dia pemain yang sedang meningkat naik dan bukan berada dalam kalangan pemain teratas.

"Bagi perseorangan wanita terutama Soniia Cheah, kita cukup kecewa dengan persembahannya di Thailand. Untuk regu wanita pula, saya berpuas hati dengan (prestasi) Pearly Tan dan M Thinaah yang menunjukkan peningkatan.

"Tetapi ada pemain yang langsung tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Bagi beregu lelaki, mereka mempamerkan aksi baik namun soal konsistensi menjadi perkara utama yang perlu diperbaiki,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Norza melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan beregu campuran negara yang dilihat gagal memberi cabaran sengit kepada lawan sepanjang dua saingan tersebut tdi Bangkok.

"Ia seperti pelaburan tidak berbaloi. Kita akan melihat apa tindakan seterusnya... antaranya melihat sama ada mereka betul-betul serius atau tidak,” tegasnya.