Bakar motosikal kerana berang bunyi bising

Iklan
Polis menahan dua lelaki dipercayai membakar sebuah motosikal di Puchong pada Ahad lalu.

SUBANG JAYA - Dua lelaki bertindak membakar motosikal dalam kejadian di Jalan Aman Tambahan, Puchong di sini pada Ahad lalu kerana dipercayai berang dengan bunyi bising kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, pemilik motosikal Modenas Kriss berusia 19 tahun telah meninggalkan motosikalnya di tepi jalan akibat mengalami kerosakan.

Iklan
Iklan

"Kira-kira setengah jam kemudian, lelaki itu datang semula ke tempat berkenaan dan mendapati motosikalnya terbakar.

"Lelaki itu turut menerima satu rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp seorang lelaki sedang membakar motosikal tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Tambahnya, jumlah kerugian dianggarkan RM1,000.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menahan dua lelaki berusia 24 dan 39 tahun yang disyaki terlibat dalam kes terbabit.

Iklan

Katanya, soal siasat kedua-dua suspek mengaku membakar motosikal mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.