Sultan Selangor zahir takziah kepada keluarga Tun Salleh Abas

Iklan
Gambar Allahyarham Tun Salleh Abas yang dimuat naik bersama kemaskini di laman Selangor Royal Office pada Sabtu.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas.

Menerusi kemaskini di laman Facebook Selangor Royal Office pada Sabtu, Sultan Sharafuddin menyifatkan Allahyarham Tun Salleh Abas sebagai seorang individu yang berwibawa dan sentiasa mengutamakan perlembagaan negara dalam setiap tindakannya.

Iklan
Iklan

Selain itu, kemaskini berserta gambar Allahyarham itu turut memaklumkan Allahyarham juga adalah seorang yang berprinsip dalam memperjuangkan kebebasan badan kehakiman bagi melindungi hak keistimewaan perlembagaan negara.

"Baginda menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang teguh mempertahankan kedaulatan undang-undang," menurut hantaran itu.

Iklan

Menurut hantaran itu lagi, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin juga berharap agar ahli keluarga Allahyarham terus tabah dan reda dengan ketentuan ini.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin," kata hantaran itu.

Iklan

Mohamed Salleh, 91, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.20 pagi Sabtu di Hospital Sultanah Raja Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu.

Khamis lalu, media melaporkan Allahyarham Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ serta berada dalam keadaan stabil.

Allahyarham berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.