Penyeludup ambil kesempatan redah Sungai Golok ketika banjir

Iklan
Abd Rahim - Foto Bernama

KUANTAN - Keadaan paras air yang meningkat akibat banjir yang berlaku di Kelantan diambil kesempatan oleh penyeludup untuk melintasi sempadan Sungai Golok, Thailand-Kelantan bagi menjalankan aktiviti haram mereka.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar yang mendedahkan perkara itu berkata, keadaan itu menyebabkan semakin banyak laluan air yang boleh dilalui oleh penyeludup.

Iklan
Iklan

"Ini memberi peluang kepada (penyeludup) menyeberang masuk menggunakan bot galah ke kawasan yang lebih luas daripada kawasan rondaan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Lebih memburukkan keadaan apabila tujuh pos kawalan PGA di tepi sungai berkenaan turut ditenggelami air dan PGA terpaksa membuat rondaan di kawasan lain menggunakan bot,” katanya kepada Bernama sempena lawatan kerja beliau di Kem Galing, PGA Briged Tenggara dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini.

Iklan

Berikutan itu, katanya, PGA mengambil langkah proaktif dan menukar strategi dengan memindahkan anggota PGA ke kawasan yang sesuai untuk rondaan bagi mengesan jalan-jalan tikus yang baharu.

Selain itu, Abd Rahim memaklumkan akan membina subtek (pusat operasi) bagi memantau dan mempertingkatkan rondaan di kawasan sempadan yang terjejas akibat banjir.

Iklan

"Jabatan KDNKA turut dibekalkan sebanyak 150 kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger pada Disember tahun lepas untuk PGA melaksanakan rondaan mengesan jalan tikus dan operasi benteng,” katanya. - Bernama