Polis kesan pesakit Covid-19 lari Hospital Tampin

Iklan
Polis sedang mengesan pesakit Covid-19 yang lari dari Hospital Tampin pada Rabu.

TAMPIN - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang juga pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Tampin, dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, M Gunasekaran, 33, merupakan bekas banduan dari Penjara Jelebu.

Iklan
Iklan

Katanya, pesakit berkenaan dikesan melarikan diri daripada hospital tersebut melalui tangga belakang wad yang menjadi laluan sampah.

"Kejadian dikesan oleh Ketua Jururawat Wad 2C bahagian Covid-19, yang memaklumkan bahawa terdapat seorang pesakit yang positif Covid-19 telah melarikan diri dari Wad 2C.

Iklan

"Pesakit yang beralamat di Seri Kembangan, Selangor itu, telah dimasukkan ke wad berkenaan pada 29 Disember," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Kata Anuwal, usaha mengesan pesakit tersebut sedang giat dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

Iklan

"Jika terkesan atau terjumpa lelaki tersebut, sila hubungi mana-mana balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPD Tampin di talian 06-4411222, atau boleh menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyalurkan maklumat," katanya.

Katanya, pihaknya percaya pesakit berkenaan telah memotong gelang pengawasan yang dipakai bagi mengelakkan dirinya dikesan.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan kesihatan mereka terus terjamin.