7 remaja mengaku tidak bersalah rogol murid Tahun Enam

Iklan
Dua antara tujuh tertuduh (duduk) yang sedang menunggu di luar kamar mahkamah menunggu prosiding pendakwaan bermula.

KEMAMAN - [DIKEMASKINI] Tujuh remaja masing-masing berusia antara 14 hingga 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada Rabu atas dakwaan merogol dan melakukan seks di luar tabii terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, dalam kejadian awal bulan ini.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi setiap pertuduhan dibacakan secara berasingan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377B akta sama.

Iklan
Iklan

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh, Mohd Aiman Abdullah, 19, didakwa atas tiga pertuduhan iaitu dua mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan satu Seksyen 377 B akta sama kerana melakukan seks di luar tabii terhadap mangsa yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Iklan

Sementara itu, di Mahkamah Kanak-kanak di sini, enam lagi tertuduh yang masih di bawah umur berdepan satu hingga lima pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa sama.

Kesemua mereka diwakili peguam Akmal Wahidah Abd Halim juga tidak mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Iklan

Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap seorang murid Tahun Enam di sebuah rumah di bandar Chukai, di sini antara jam 4 pagi, pada 7 Disember lalu hingga jam 12 tengah malam pada 8 Disember lalu.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad.

Seterusnya, mahkamah menetapkan 1 Febuari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Tiga lagi suspek akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan nanti.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan memaklumkan, polis berjaya memberkas 10 remaja lelaki berusia antara 14 hingga 19 tahun di sekitar Kemaman susulan laporan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang mendakwa dirogol oleh kumpulan remaja lelaki termasuk salah seorangnya baru dikenali menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ini.