Curi barang kemas ibu demi kekasih

Iklan
Gambar kecil: Shamsul Amar

KLANG - Seorang gadis tergamak mencuri barang kemas bernilai RM10,000 milik ibunya dalam kejadian di Taman Desawan, di sini pada Selasa, kerana mahu membayar kos membaiki motosikal teman lelakinya.

Kejadian itu hanya disedari wanita berusia 53 tahun itu kira-kira jam 11 pagi selepas mendapati barang kemas miliknya yang disimpan di dalam bilik sembahyang lesap.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, gadis berusia 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam di rumah manakala teman lelakinya ditahan dua jam kemudian di Taman Pandamaran Jaya, Klang.

Menurutnya, siasatan mendapati antara barang kemas yang dilaporkan hilang adalah enam bentuk cincin, tiga pasang subang, dua utas rantai leher dan tiga gelang tangan.

Iklan

"Siasatan polis mendapati barangan kemas itu telah dicuri oleh anak perempuan mangsa sendiri sebelum menyerahkannya kepada teman lelakinya berusia 18 tahun.

"Barang kemas itu kemudian telah dipajak dengan harga RM5,550," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, soal siasat mendapati hasil pajakan itu dipercayai digunakan bagi menampung kos membaiki motosikal dan telefon bimbit milik lelaki terbabit selain hutang remaja perempuan itu kepada kekasihnya berjumlah RM800," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, pihaknya turut merampas empat surat pajak gadai untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga Jumaat. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.