Kerajaan digesa dedahkan dalang kartel daging

Iklan

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mendedahkan syarikat terlibat dalam sindiket kartel yang menyeludup daging murah dan tidak diiktiraf halal.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kerajaan tidak wajar mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan masyarakat Islam di negara ini.

Iklan
Iklan

"Tular di media berhubung wujudnya kartel yang dilindungi pihak tertentu menjalankan aktiviti menyeludup daging haram selama lebih 40 tahun.

"Daging yang diragui status halal itu diimport dari negara yang tidak mencapai standard yang ditetapkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, sehingga kini kerajaan gagal mendedahkan kartel yang terlibat dan lambat bertindak untuk menghalang syarikat terbabit daripada terus memasarkan daging yang diragui status halalnya.

"Umat Islam di Malaysia gusar dan hairan bagaimana kartel ini boleh dibiarkan beroperasi sejak sekian lama. Kegusaran ini mesti ditangani,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor mendesak kerajaan mendedahkan jenama yang terlibat dalam kartel daging sejuk beku import bagi membolehkan orang ramai di negara ini khususnya umat Islam berhenti membeli jenama berkenaan.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, langkah mendedahkan jenama bukan perkara baharu.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan persatuan pengguna lain pernah melakukan perkara itu sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan pendedahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengenai kegiatan kartel yang membawa masuk daging tanpa sijil halal dan meletakkan logo halal palsu untuk pasaran tempatan.