Lebih 1,300 kes baharu di Thailand ada kaitan penjual di pasar

Iklan

BANGKOK - Wabak Covid-19 terbaru di Thailand telah merebak ke sekurang-kurangnya 31 wilayah dan lebih 1,300 kes dilaporkan ada kaitan dengan sebuah pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, pihak berkuasa kesihatan awam meningkatkan pengesanan kes aktif untuk menghentikan penularan virus yang boleh membawa maut itu.

Iklan
Iklan

"Sehingga kini, kami telah menjalankan 8,810 ujian Covid-19 dan lebih 1,300 disahkan positif.

"Kebanyakan pesakit adalah pekerja asing dari negara jiran, Myanmar dan tidak mengalami gejala,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Iklan

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai penjual udang berusia 67 tahun yang didapati positif virus itu minggu lalu.

Berikutan lonjakan kes, kerajaan negara itu telah melaksanakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam di Samut Sakhon.

Iklan

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 81 kes Covid-19 baharu termasuk sembilan kes import manakala 72 kes tempatan yang ada kaitan dengan pasar tersebut.

Setakat ini, Thailand telah mencatatkan 5,910 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Khamis berkata, tidak akan ada sekatan pergerakan seluruh negara di Thailand berikutan wabak terbaru itu.

Bagi membendung penularan Covid-19 secara efektif, semua wilayah dikategorikan kepada empat, iaitu amat terkawal (kawasan dengan jumlah jangkitan yang tinggi - Samut Sakhon), terkawal (lebih 10 kes disahkan), di bawah pengawasan tinggi (kawasan dengan jumlah kurang daripada 10 orang dijangkiti dan dapat mengawal keadaan) dan berada di bawah pengawasan (tidak ada kes yang dilaporkan).

Gabenor wilayah berkuasa mengeluarkan perintah untuk melarang kegiatan tertentu dan menyekat pergerakan orang dalam usaha menyekat penyebaran Covid-19. - Bernama