Tipu ijazah: Marzuki serah kepada polis siasat

Iklan

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Marzuki Yahya sekali lagi menegaskan akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan beliau menipu berhubung kelulusan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Cambridge.

"Saya telah keluarkan kenyataan kerana perkara itu sudah dibuat laporan polis. Saya akan membantu polis dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Iklan
Iklan

Marzuki berkata demikian ketika ditanya bila beliau akan mendedahkan bukti berhubung perkara berkenaan.

Semalam, media melaporkan Marzuki berkata, beliau akan mengemukakan bukti pernah mengikuti kursus dalam bidang pentadbiran perniagaan di universiti berkenaan.

Iklan

"Insya-ALLAH saya akan kemukakan bukti, tapi bukan saya nak melaporkan kepada dia. Saya akan buktikan, tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, semalam.

Terdahulu, seorang aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Iklan

Pemilik akaun Facebook itu memuat naik status berkenaan pada 3 Februari lepas.

Sementara itu, semakan melalui soalan lazim laman web universiti berkenaan mendapati tiada sebarang program PJJ ditawarkan.