NUTP yakin KPM berupaya atasi isu pelajar tercicir

Iklan
(Dari kiri) Mohd Azizee, Aminuddin, Noor Azimah

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyuarakan keyakinan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berupaya mengatasi masalah keciciran dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, usaha agresif mengatasi masalah tersebut diberikan kepada KPM sahaja kerana mereka mampu mengambil langkah terbaik.

Iklan
Iklan

"Belum sampai masanya pihak kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan seperti dicadangkan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid tersisih antara isu utama dibangkitkan Maszlee

Iklan

"KPM boleh menubuhkan petugas atau jawatan kuasa tertentu di kementerian dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti NUTP, Majlis Guru Besar Malaysia dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, faktor keciciran dalam kalangan pelajar boleh diatasi oleh jawatankuasa di peringkat kementerian sahaja.

Iklan

"NUTP boleh membantu memberikan langkah untuk menanganinya dan merujuk pandangan guru terlebih dahulu bagaimana masalah di peringkat sekolah itu boleh di atasi.

"Isu keciciran merupakan faktor yang harus diberikan keutamaan oleh kerajaan dan ia perlu ditangani dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan bersetuju dengan pandangan Dr Maszlee mengenai keciciran dalam kalangan pelajar sekolah.

"Kita bimbang wujud murid-murid yang tercicir dalam pelajaran mereka terutama di tahap pra sekolah dan Tahun Satu dan Tahun Dua untuk menguasai literasi dan numerasi yang melibatkan penguasaan 3M (membaca, mengira dan menulis).

"Tempoh persekolahan secara pembelajaran bersemuka, pendek jika dibandingkan secara dalam talian. Ia memberikan kesan emosi kepada murid-murid tersebut serta mengurangkan minat mereka untuk ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, ditambah pula isu akses internet, keupayaan murid-murid untuk menggunakan alat peranti dan sokongan ibu bapa di rumah yang rata-rata tiada kemahiran mengajar anak- anak.

"Ia membantutkan proses kelangsungan pendidikan. Kajian di beberapa buah negara di dunia menunjukkan ramai anak-anak tercicir dan hilang minat belajar khususnya pada usia ini.

"Pihak iGuru bimbang murid-murid akan terdedah kepada masalah buta huruf dan menyukarkan mereka menguasai pembelajaran di tahap dua sekolah rendah khususnya anak-anak luar bandar dan di pedalaman,” katanya.

Mohd Azizee berkata, iGuru menyarankan supaya pihak KPM segera mengambil tindakan proaktif menangani isu itu dengan memanfaatkan kepakaran sedia ada melibatkan semua pihak dan pemegang taruh pendidikan bagi mengelakkan kumpulan pendidik berdepan isu keciciran murid secara berterusan.

"Semua pihak, KPM, guru, ibu bapa perlu berganding bahu mencari solusi terbaik menangani isu itu agar anak-anak tidak terjejas pembelajaran, emosi dan minat mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, iGuru bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan supaya isu pendidikan mengatasi kepentingan parti dan ideologi kerana semua pihak perlu bekerjasama demi survival generasi akan datang.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, beliau mengakui bahawa sememangnya kesemua pelajar di Malaysia tersisih daripada pembelajaran akibat Covid-19.

"Ia menjejaskan pembelajaran lebih lima juta pelajar di pra sekolah, sekolah rendah dan menengah.

"Pembelajaran dalam talian tidak efektif. Kajian KPM menunjukkan sebanyak 36.9 peratus tiada peranti untuk mengikuti pembelajaran online. Hanya 5.8 peratus yang ada tablet komputer," katanya.

Beliau berkata, PAGE menegaskan pentingnya sekolah perlu dibuka segera untuk semua berdasarkan jadual tertentu dan bergiliran agar bilangan pelajar boleh dikawal, dan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan terutama sekali untuk Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam Februari dan Mac 2021.