Matlamat PNB tercapai

Iklan
Zulqarnain ketika mengumumkan Linclon Sengalang Anak Juing, sebagai pemenang utama bagi peraduan Eh, Mana Kod? yang membawa pulang, Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD.

MINGGU Saham Digital (MSD) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) berlangsung selama seminggu mendapat sambutan menggalakkan dan memberi manfaat kepada jutaan penontonnya.

MSD yang merupakan sebuah adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) mencatatkan lebih dua juta tontonan dalam tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ini selepas program hibur didik yang bersiaran langsung dan bertemakan #LaburBersama, bertujuan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia daripada semua peringkat umur.

"MSD telah berjaya mencapai 7.5 juta capaian unik di Facebook rasminya dan meraih 2.2 juta tontonan terkumpul di laman rasmi MSD iaitu Facebook, saluran YouTube, dan laman web dengan 11.5 juta tayangan.

Iklan

"Kami sangat berbesar hati dengan penerimaan luar biasa MSD yang julung kali diadakan dan melebihi jangkaan. Minggu Saham secara digital membantu kami memperluas jangkauan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya pada Majlis Pengumuman Pemenang MSD yang diadakan secara maya pada Khamis.

Beliau berkata, laman web rasmi MSD telah dikunjungi sebanyak 1.3 juta kali, peraduan Eh Mana Kod? telah meraih lebih 540,000 penyertaan membabitkan 27,339 peserta manakala konsert mega maya Pass the Mic! mencatatkan lebih 80,000 tontonan.

Iklan

"Sebagai tanda penghargaan, PNB memberi peluang kepada orang ramai yang mengikuti program MSD untuk memenangi hadiah bernilai lebih RM500,000 menerusi pelbagai peraduan yang diadakan sebelum dan semasa MSD.

"Peraduan, Mana Kod? menerima sebanyak 547,116 kod. Linclon Sengalang Anak Juing, 24 tahun, dari Sarawak, diumumkan sebagai pemenang hadiah utama iaitu Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD,” katanya.

Beliau memberitahu, hadiah utama peraduan Say What yang diadakan ketika konsert mega maya Pass the Mic! dimenangi oleh Iffah Sorfina Mohamad Naim, 19, dari Kuala Lumpur.

"Pemenang membawa pulang Perodua Aruz. Seramai 10 pemenang yang lain masing-masing menerima e-baucar Lazada bernilai RM500,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MSD memaparkan lebih 70 program hibur didik bertujuan merapatkan jurang literasi kewangan dan mendorong rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan kewangan diri dan keluarga dengan memanfaatkan peralatan dan sumber sedia ada.

Tambahnya, MSD turut menawarkan khidmat perancangan kewangan melalui sesi bersemuka bersama perunding dari ASNB, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad dan RHB Bank Berhad. Konsultasi persendirian selama 30 minit ini dilakukan secara maya menerusi Join.Me.

"PNB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat pelaburannya yang telah menjayakan inisiatif digital yang baharu,” katanya.

Rakan utama ialah Premier MSD ialah Maybank, Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad. Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua).

Rakan lain yang turut menjayakan program ialah MNRB Holdings Berhad, CCM Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad, Sapura Energy Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).