PICOMS beri biasiswa, bantuan RM7.4 juta kepada pelajarnya

Iklan
Wan Mohd Azizi (depan, kiri) menerima sumbangan wakaf tunai sebanyak RM400,000 untuk Tabung Wakaf PHMP daripada Ahmad Zawawi (kanan) sambil disaksikan oleh Zulkifli (tengah) ketika majlis penyerahan 10 mesin hemodialisis di Dewan Besar PICOMS di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR - Kolej Universiti Antarabangsa (PICOMS) mengumumkan pemberian biasiswa dan bantuan kepada pelajarnya dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.4 juta hari ini.

Naib Canselor PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.6 juta akan digunakan bagi pemberian biasiswa penuh kepada pelajar cemerlang, manakala RM5.8 juta pula adalah bagi penyerahan bantuan baitulmal kepada pelajar institusi tersebut.

Iklan
Iklan

"Pemberian biasiswa penuh kali ini akan melibatkan sebanyak 26 orang pelajar PICOMS yang mendapat keputusan cemerlang dalam pembelajaran mereka.

"Sementara itu, jumlah bantuan baitulmal pula akan memanfaatkan lebih 308 pelajar baharu merangkumi bantuan wang saku berjumlah RM300 setiap bulan, kemudahan hostel dan pengangkutan secara percuma kepada pelajar tahun satu dan penerima bantuan penuh baitulmal,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan 10 mesin hemodialisis oleh pihak Agrobank yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Besar PICOMS di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir ialah Pengerusi PICOMS, Profesor Dr Abdul Latif Mohamed; Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Akbar Samon.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan wakaf komputer riba melalui wang Wakalah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) kepada para pelajar PICOMS yang kurang berkemampuan dan memerlukan untuk sesi pembelajaran mereka.

Iklan

Sementara itu, pada majlis tersebut, Agrobank telah menyerahkan sumbangan wakaf tunai sebanyak RM400,000 kepada Tabung Wakaf Pusat Hemodialisis PICOMS-MAIWP (PHMP) yang terletak di bawah Pusat Wakaf My Rahmah institusi pengajian tinggi tersebut.

Mengulas mengenai sumbangan tersebut, Wan Mohd Azizi berkata, dana yang telah disampaikan pada majlis itu akan digunakan sepenuhnya oleh PHMP untuk membeli mesin dialisis baharu bagi menggantikan mesin sedia ada sudah menjangkau usia lebih lapan tahun.

"Selain itu, segala peralatan sedia ada di pusat itu juga akan ditambah baik bagi memastikan Pusat Dialisis PICOMS mampu menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para pesakit yang majoritinya terdiri daripada kalangan asnaf.

"PHMP juga berhasrat untuk menampung kos rawatan dan pengangkutan pesakit kerana PICOMS sentiasa ingin menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan kami,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa PHMP membuka satu lagi cawangan daripada tiga cawangan sedia ada yang beroperasi di Kuala Lumpur dengan penambahan pusat kesihatan itu di Presint 15, Putrajaya pada awal tahun 2021.