Kes rogol budak: 10 remaja disambung reman

Iklan
Perintah tahanan reman terhadap 10 remaja lelaki dilanjutkan selama empat hari lagi bermula esok bagi membantu siasatan kes rogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dalam kejadian pada 6 dan 7 Disember lalu di dua buah kediaman di Kemaman.

KEMAMAN - Mahkamah membenarkan tahanan reman terhadap 10 remaja lelaki berhubung dakwaan kes rogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dilanjutkan selama empat hari lagi bermula esok.

Perintah reman sehingga 17 Disember terhadap suspek berusia 13 hingga 19 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Kemaman, Masni Hajar Ghazali.

Iklan
Iklan

Kesemua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.24 pagi dengan diiringi anggota polis.

Kesemua suspek sebelum ini direman lima hari bermula 9 Disember lalu sebelum dilanjutkan bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Iklan

Terdahulu, mangsa yang juga murid Tahun Enam mendakwa dirogol kumpulan lelaki termasuk seorang kenalan yang baharu dikenali selama dua hari menerusi aplikasi WhatsApp dalam kejadian jam 4 petang pada 6 Disember hingga awal pagi 7 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan laporan dibuat, kanak-kanak itu mendakwa dirogol oleh kumpulan remaja lelaki di dua buah kediaman berasingan yang terletak dua kilometer (km) antara setiap sebuah kediaman.

Iklan

Katanya, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan di Hospital Kemaman, di sini mendapati terdapat kesan koyakan pada alat sulit mangsa.