Kanak-kanak Tahun Enam dakwa dirogol 15 lelaki

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KEMAMAN - Seorang kanak-kanak Tahun Enam mendakwa menjadi mangsa rogol 15 lelaki dalam kejadian di dua buah kediaman berasingan di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 12 tahun itu mendakwa dirogol lelaki berusia 12 hingga 19 tahun antara jam 4 petang dan 3 pagi.

Iklan
Iklan

"Mangsa dikatakan dibawa suspek ke salah sebuah kediaman lain terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kediaman pertama.

"Mangsa turut mendakwa dirogol seorang kenalan yang baru dua hari dikenali menerusi aplikasi pesanan WhatsApp," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, kejadian itu terbongkar apabila ahli keluarganya menyedari mangsa tidak pulang ke rumah selama dua hari.

"Setelah didesak, mangsa akhirnya menceritakan kejadian sebenar yang menimpanya.

Iklan

"Sebaik mengetahui perkara itu, mangsa dibawa membuat laporan polis pada Selasa," katanya.

Bertindak daripada laporan dibuat, katanya, pihak polis menahan 10 lelaki termasuk seorang penganggur berusia 19 tahun bagi membantu siasatan.

"Kesemua yang ditahan petang semalam telah direman sehingga Ahad ini. Pihak polis masih mengumpul maklumat mengenai lima lagi suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, hasil pemeriksaan dijalankan ke atas mangsa di Hospital Kemaman mendapati terdapat kesan koyakan pada bahagian kemaluan mangsa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol.