AirAsia tawar penerbangan domestik serendah RM12

Iklan
AirAsia menawarkan jualan tiga hari untuk penerbangan domestik bermula 7 hingga 9 Disember 2020.

SHAH ALAM- AirAsia menawarkan jualan tiga hari untuk penerbangan domestik ke seluruh Malaysia bermula 7 hingga 9 Disember 2020 di laman airasia.com dan Asean super app.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, jualan itu berikutan keputusan kerajaan Malaysia membenarkan perjalanan antara daerah dan negeri dalam negara bermula 7 Disember 2020.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tambang termasuk semua untuk Ahli BIG bermula daripada RM12 sehala untuk tempoh perjalanan antara 14 Disember 2020 dan 30 Jun 2021.

"Semua tempahan penerbangan yang dibuat sekarang hingga 31 Disember 2020 dengan tempoh perjalanan dari sekarang hingga 31 Mac 2021 boleh membuat perubahan tarikh perjalanan tanpa had dan tanpa bayaran tambahan untuk pertukaran penerbangan melalui pautan Tempahan Saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Dalam pada itu, Riad berkata, AirAsia sentiasa komited untuk memberi jaminan keselamatan dan kesihatan kepada penumpang dalam penerbangannya dengan meningkatkan langkah-langkah keselamatan serta kebersihan untuk memastikan mereka tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing.

"Perjalanan udara domestik adalah salah satu sektor penting untuk menghidupkan kembali ekonomi dan AirAsia memuji usaha kerajaan menangani pandemik ini di samping memulihkan ekonomi.

Iklan

"Baru-baru ini, kami telah mengumumkan lapan laluan domestik baharu dan menjangka promosi Cuti-Cuti Malaysia yang bermula daripada RM12 ini akan memenuhi permintaan perjalanan domestik,” katanya.

Riad berkata, AirAsia juga bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menawarkan e-baucar bernilai RM50 untuk kempen Cuti-Cuti Malaysia yang diumumkan pada 24 November lalu.

"Bagi mereka yang telah menebus e-baucer tersebut, ini adalah peluang terbaik untuk menggunakannya,” katanya.

Untuk maklumat terkini mengenai syarat dan keperluan kemasukan ke Sabah dan Sarawak, sila layari halaman Keperluan Perjalanan AirAsia.