Dua maut, dua cedera dalam nahas di LPT

Iklan
Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain di kilometer 220.3 Lebuhraya Pantai Timur malam tadi. Gambar hiasan 123RF

KUANTAN - Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain di kilometer 220.3 Lebuhraya Pantai Timur malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, penumpang kereta Proton Wira, Mohamad Syukri Mat Yusof, 27, dan warga Indonesia Suryano, 30, yang kedua-duanya mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan itu, Muhammad Firdaus Jalani, 18, dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan, di sini telah hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sebelum terbabas ke lorong kanan.

"Susulan itu, kereta jenis Toyota Yaris yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar Proton Wira berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, Muhammad Firdaus mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan penumpang Toyota Yaris, Mohammad Syafiq Azmi, 22, yang cedera ringan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun, Mohamad Sofian Ab Wahab, 22, yang memandu kereta Toyota Yaris tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Bernama

Iklan