Ibu bapa di SJKC tak kedekut

Iklan
KIM SWEE

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Tampin begitu bertuah apabila ibu bapa serta masyarakat setempat tidak lokek untuk memberi sumbangan buat pendidikan sekolah berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), Koh Kim Swee berkata, sepanjang tujuh tahun dia memegang jawatan berkenaan sebelum ini, tiada sebarang masalah membabitkan ibu bapa yang liat untuk membayar yuran yang telah dipersetujui dalam mesyuarat agung PIBG sekolah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, bagi murid yang benar-benar miskin, PIBG serta LPS akan berusaha untuk membantu menjelaskan bayaran berkenaan, namun jumlah berkenaan sangat kecil jika dibandingkan dengan kerjasama ibu bapa.

"Kita kenakan yuran bagi murid tahun empat, lima dan enam yang ingin menduduki tuisyen sahaja. Kalau tahun enam mahal sedikit dalam RM10. Kalau tahun lima mungkin RM8. Tak pernah ada masalah, majoritinya bayar sebab kalau tuisyen luar lagi mahal.

Iklan

"Jika diikutkan PIBG memerlukan sebanyak RM20,000 setahun untuk menjelaskan bayaran tuisyen anak-anak ini dan kita tidak ada masalah untuk membuat pembayaran berkenaan memandangkan ibu bapa memang membantu membuat bayaran yuran tuisyen berkenaan pada setiap bulan,” katanya.

Kim Swee berkata, buat masa ini, SJKC Kampung Baru Tampin mempunyai lebih 460 murid dan pada setiap pertengahan tahun, PIBG akan mengeluarkan surat untuk meminta sumbangan ibu bapa.

Iklan

Menurutnya, sumbangan berkenaan bukanlah dalam bentuk paksaan dan PIBG sanggup menerima bayaran walaupun serendah RM2.

"Paling sikit kita pernah dapat dalam RM2,000, paling banyak boleh capai RM7,000. Itu semua bergantung atas sumbangan ibu bapa, kita tak paksa sebab semua dana yang dapat kita akan pulangkan kembali untuk pendidikan anak-anak.

"Selain itu, PIBG serta LPS akan sentiasa berusaha mencari sumbangan daripada peniaga, orang awam dan juga wakil rakyat setempat untuk menambah dana PIBG menguruskan sekolah.

Sementara itu, seorang bapa prihatin di SJK(C) Chen Moh Petaling Jaya, Rajinder Singh berkata, senario ibu bapa liat untuk memberi sumbangan yuran PIBG tidak berlaku di sekolah Cina.

Ini kerana katanya, berdasarkan pengalamannya sendiri yang tidak pernah ketinggalan mengikuti mesyuarat PIBG sekolah berkenaan sejak 2016, dia melihat ibu bapa di sekolah itu sangat komited melunaskan yuran PIBG.

"Selepas dimaklumkan oleh guru-guru mengenai yuran PIBG, ibu bapa murid terus membuat bayaran. Bahkan ramai yang komited untuk membuat lebihan bayaran dari jumlah sepatutnya.

"Misalnya, yuran PIBG cuma RM195 tetapi rata-rata ibu bapa murid akan membuat bayaran genap sebanyak RM200," katanya yang mempunyai dua anak sedang belajar di sekolah berkenaan.

Seperkara lagi katanya, budaya di sekolah Cina juga menyaksikan golongan ibu bapa tidak kedekut untuk mengeluarkan wang bagi setiap program dianjurkan di sekolah.

"Tak pernah dengar ada ibu bapa yang mengadu atau merungut, kenapa yuran PIBG mahal atau mempertikaikan soal wang itu dibelanjakan. Kesemua mereka komited demi masa depan pendidikan anak-anak," katanya.