Penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujoh rugi besar

Iklan
Ikan-ikan yang masih elok diambil untuk dijual bagi menampung sedikit sebanyak kerugian yang dialami mereka

TUMPAT - Lebih 20 penternak ikan dalam sangkar di Laguna Sri Tujoh di sini mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila ternakan mereka mati akibat limpahan air tercemar dari tali air berdekatan memasuki sangkar mereka.

Pengerusi Perternak Laguna Sri Tujoh, Mohd Saifullah Che Mat berkata, penternak di sini memelihara ikan tilapia dan siakap yang mana ikan-ikan terbabit sebenarnya sudah boleh dipasarkan pada bila-bila masa sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap kali musim tengkujuh sememangnya akan terdapat ternakan yang mati, namun kali ini kejadian sebegini berlaku di luar jangkaan ditambah pula dengan kejadian hujan lebat sejak dua hari lalu.

"Air berkeladak bersama pokok keladi dari tali air terbabit dilepaskan secara tidak berjadual dan menyebabkan banyak ikan kami tidak dapat diselamatkan dan mati begitu sahaja.

Iklan

"Kami alami kerugian besar, setiap seorang rugi puluhan ribu ringgit. Meskipun empat tan ikan yang ada malam ini akan dijual kepada pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar di Tunjong tetapi masih tidak dapat menampung kerugian kami,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Mohd Saifullah dan Fam Kai Loon

Sehubungan itu, Mohd Saifullah mengharapkan pihak berkenaan dapat melepaskan air secara berjadual dan juga memaklumkan terlebih dahulu kepada penternak untuk melakukan persediaan supaya tidak menanggung kerugian besar.

Iklan

Sementara itu, seorang penternak muda, Fam Kai Loon,25, berkata, dia cuba menyelamatkan ikannya menggunakan enjin dengan ‘kucar’ air di bahagian bawah sangkar untuk membekalkan oksigen tetapi tidak berjaya kerana air terlalu kotor.

"Ikan-ikan saya sudah setahun dan boleh dijual, tetapi tak sempat dapat hasil sebab dah mati. Apapun saya terpaksa jual dengan harga murah untuk menampung sedikit sebanyak kerugian yang dialami.

"Kerugian yang saya alami dianggarkan lebih RM60,000 apabila empat tan ikan yang dipelihara mati dan terpaksa dijual dengan harga murah," katanya.