Penjawat awam Kedah dapat bantuan khas RM1,000

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 seorang kepada penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri bagi menghargai sumbangan serta pengorbanan mereka.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kira-kira 5,000 penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri akan menikmati bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.6 juta.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kakitangan awam negeri dilihat komited melaksanakan semua dasar dan arahan kerajaan, antaranya seperti menguruskan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) ketika pandemik koronavirus (Covid-19).

"Selain itu, mereka juga dilihat membuat penyaluran bantuan kepada pihak memerlukan dan melaksanakan projek pembangunan dirancang sepanjang 2020.

Iklan

"Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan RM1,000 seorang kepada kakitangan awam negeri yang akan dibayar pada Disember 2020," katanya selepas pembentangan Bajet 2021 Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri juga akan memberikan sumbangan 'one off' sebanyak RM200 kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, pemberian sumbangan berkenaan merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada petugas barisan hadapan yang terus bekerja tanpa henti demi mengekang penularan Covid-19.

"Bayaran RM200 akan dikreditkan ke akaun penerima pada akhir tahun ini," katanya.