MUAR - Sebuah pejabat nurseri dan empat kenderaan di Jalan Bintang Mas, Bukit Pasir di sini musnah dalam satu kebakaran semalam.
Bagaimanapun tiada kecederaan berlaku dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu kerana pekerjanya sempat melarikan diri.
Seramai 23 anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Muar dengan dua buah jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu lori tangki dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Jefri Jamal berkata, mereka turut dibantu tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan satu unit Utiliti Hilux.
"Setibanya di lokasi kejadian, didapati pejabat satu tingkat jenis kekal yang seluas 4.6 meter x 18.3 meter terbakar 70 peratus.
"Bomba turut mendapati sebuah kereta terbakar 70 peratus, sebuah motosikal bergerabak terbakar 50 peratus, sebuah motosikal jenis SYM terbakar 90 peratus dan sebuah motosikal Honda Wave terbakar 90 peratus.
"Barang lain yang terbakar ialah pasu bunga, rumput tiruan, baja dan enjin pam air yang diletakkan berdekatan pejabat nurseri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kebakaran dapat dikawal dalam masa tidak sampai satu jam dan operasi tamat pada jam 2 petang manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.