Budak 12 tahun lari rumah dirogol tiga lelaki

Iklan
Seorang budak perempuan berusia 12 tahun dirogol tiga lelaki dalam satu kejadian di sebuah rumah tumpangan di Hutan Melintang semalam. Gambar kecil: Anuar Othman

BAGAN DATUK - Tindakan seorang budak perempuan berusia 12 tahun melarikan diri dari rumah mengundang padah apabila dia dirogol tiga lelaki dalam satu kejadian di sebuah rumah tumpangan di Hutan Melintang di sini semalam.

Mangsa yang sudah tidak bersekolah dilaporkan keluar dari rumah ibu saudaranya sekitar jam 1 pagi ke tapak permainan berhampiran sebelum dihampiri sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, dua lelaki berusia 28 dan 33 tahun itu kemudian mengajak mangsa untuk mengikuti mereka.

"Mangsa yang mengenali seorang daripada lelaki itu bersetuju kerana memikirkan tiada tempat dituju.

Iklan

"Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke sebuah rumah tumpangan yang sedia diduduki seorang lelaki lain berusia 29 tahun dengan alasan untuk bermalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa telah diajak melakukan hubungan seks secara bergilir di sebuah bilik di rumah tumpangan itu oleh ketiga-tiga suspek sebelum ditinggalkan keseorangan.

Iklan

"Pengadu yang ketakutan tidak berupaya keluar mencari bantuan dan hanya duduk di rumah tumpangan itu seharian.

"Ibu saudara mangsa berusia 24 tahun yang menyedari kehilangan mangsa cuba mencarinya sehingga jam 5 pagi di sekitar kawasan rumah, namun gagal sebelum satu laporan polis dibuat," katanya.

Anuar berkata, berdasarkan laporan polis dibuat, wanita itu mendakwa ada menerima panggilan daripada seorang lelaki yang juga seorang daripada suspek meminta wang tebusan RM4,000 untuk melepaskan mangsa.

Susulan daripada maklumat itu, katanya, polis menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak membuat serbuan dan menahan lelaki terbabit di hadapan sebuah bank di Hutan Melintang sekitar jam 6.30 pagi tadi.

"Hasil tangkapan itu, polis menjejaki dua lagi suspek yang terlibat dan membuat tangkapan sekitar jam 7 pagi tadi sebelum berjaya menyelamatkan mangsa.

"Dua daripada suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing mendapati kesemua tangkapan positif dadah jenis methamphatamine," katanya.

Beliau berkata, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, daripada keterangan ibu saudara, mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik tinggal bersamanya sejak tiga bulan lalu selepas ibu kandungnya berkahwin lain.

"Siasatan kes kini diteruskan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol berkumpulan dan Seksyen 363 akta sama kerana menculik," katanya.