[VIDEO] Bapa tak mengaku rogol, liwat anak kandung

Iklan
Seorang bapa kepada lima anak, dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas 41 pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun bermula Januari hingga Oktober lalu.

AMPANG - Seorang pengusaha syarikat pembersihan kecil-kecilan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 41 pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun, bermula Januari hingga Oktober lalu.

Tertuduh yang memakai baju T berwarna kelabu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca hampir dua jam di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah.

Iklan
Iklan

Mengikut 14 pertuduhan merogol, bapa kepada lima anak itu, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan dengan anak perempuannya yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan.

Perhubungan mereka adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama atau adat atau kebiasaan dan terpakai untuk dikahwini dan hubungan amanah dengannya.

Iklan

Bagi pertuduhan itu, dia yang berusia 42 tahun, disiasat mengikut Sesyen 376A Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi 18 pertuduhan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap anak kandungnya tanpa kerelaan.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi sembilan lagi pertuduhan lain, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu dan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan tidak kurang dua sebatan.

Kesemua kejadian didakwa berlaku di ruang tamu dan bilik di rumah tertuduh serta tepi hutan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa di sini bermula Januari hingga Oktober lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

"Hubungan tertuduh dengan mangsa adalah ayah dan anak, pihak kami bimbang jika ikat jamin diberi, tertuduh berisiko untuk melarikan diri dan tak dapat dikesan.

"Bagi seseorang yang sepatutnya bertindak sebagai seorang pelindung kepada anak kandungnya, namun tertuduh bertindak dengan cara menjijikkan kerana sanggup melakukan kesalahan seksual seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan tadi,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar ikat jamin diberi dengan alasan perlu meneruskan syarikat dan menjaga kebajikan pekerja.

"Saya juga perlu menjaga tiga kakak serta adik yang menghidap kanser malah isteri serta anak di rumah, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran Covid-19 ketika ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nor Hazani tidak membenarkan ikat jamin di beri kepada tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam pada 17 Disember depan.

Ini menyebabkan tertuduh terpaksa merengkok dalam lokap Balai Polis Ampang selepas mahkamah tidak membenarkan dia diikat jamin.

Jumaat lalu, media melaporkan, penahanan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, di Terminal Bersepadu Selatan berjaya membongkar kisah malangnya apabila mendakwa dirogol bapa kandung.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, remaja berkenaan pada awalnya, ditahan kerana tidak mempunyai permit rentas negeri ketika Lembah Klang diletakkan dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menurutnya, hasil soal-siasat terhadap remaja perempuan itu mendapati, ketika kejadian dia ingin pulang ke kampung ibunya di Kuala Nerang, Kedah kerana tidak tahan dengan perbuatan bapa kandung yang merogolnya, hampir setiap minggu.

Beliau berkata, mangsa melarikan dari rumah berkenaan untuk ke kampung ibunya di Kedah dan kedua ibu bapa mangsa dilaporkan bercerai sejak tahun 2004.

Sebelum ini katanya, mangsa tinggal dengan ibunya di Kuala Nerang, namun sejak September 2019, bapanya telah mendapat hak penjagaan ke atas mangsa dan telah membawa remaja perempuan itu tinggal bersamanya.