Kucing pun kau nak rembat!

Iklan
Rakaman CCTV yang tular di media sosial.

AMPANG - Dua ekor kucing baka 'British short hair’ dan Persian antara dilarikan sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang ketika merompak sebuah kedai haiwan peliharaan di Taman Melawati di sini, malam Rabu lalu.

Dalam kejadian pada jam 6.50 petang, tiga suspek bertopi keledar itu turut membawa lari sejumlah wang tunai dalam kaunter juruwang.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat mengenai insiden itu daripada seorang wanita yang merupakan pekerja kedai.

Katanya, ketika kejadian pengadu berada dalam kedai bersama dua rakan sekerja.

Iklan

"Mangsa beritahu tiga lelaki bersenjatakan parang masuk ke dalam kedai. Kesemua mereka yang panik dan ketakutan terus meluru masuk bersembunyi ke bilik pejabat terletak di ruang belakang.

"Kira-kira lima minit selepas kejadian, barulah mangsa berani keluar daripada bilik pejabat dan dapati kesemua suspek sudah melarikan diri,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati wang tunai dan dua ekor kucing dicuri. Tiada kecederaan dilaporkan namun pengusaha menangung kerugian hampir RM5,500.

Nadrah Aqilah menunjukkan sangkar kucing yang menempatkan dua ekor kucing yang dicuri suspek.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Sementara itu, sebelum ini tular video berdurasi 1 minit memaparkan aksi tiga lelaki meluru masuk sebuah premis perniagaan haiwan peliharaan bersenjatakan parang dan turut membawa beg.

Seorang pekerja lelaki dilihat pada awalnya menahan pintu bagi menghalang suspek masuk ke dalam kedai namun usaha itu gagal apabila suspek menolak pintu dengan kuat dan bolos masuk ke dalam.

Seorang daripada suspek dirakam terus ke dalam kedai dipercayai ke mesin juruwang manakala dua lagi memecahkan sangkar yang menempatkan kucing menggunakan parang.

Suspek dirakam memasukkan dua ekor kucing dalam beg dibawa sebelum melarikan diri.