Cadangan libatkan pembangkang bawa malapetaka

Iklan
Razlan Rafi

SHAH ALAM - Cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan pembangkang dalam pentadbirannya adalah satu malapetaka kepada negara dan lebih menjurus kepada permainan politik daripada untuk perbincangan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Razlan Rafi berkata, mempelawa pembangkang mungkin seperti menunjukkan kebaikan serta kemurnian hati tetapi ia perlu difikirkan dengan panjang.

Iklan
Iklan

"Perlu fikir panjang, jangan sering kali menggunakan perkataan ‘demi rakyat’ semata-mata mahu menunjukkan keutamaan kepada rakyat. Ia boleh menjurus kepada ‘membelakangkan rakyat’.

"Perikatan Nasional (PN) perlu mengurangkan jurang permainan politik dan terus kepada kerja untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi serta penularan koronavirus (Covid-19),” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Menurutnya, Kabinet serta kumpulan ahli Parlimen kerajaan membantu kerajaan Muhyiddin tanpa ada input pembangkang.

"Saya bukan mahu jadi penentang kepada kerajaan PN, namun apa yang cuba dicadangkan Perdana Menteri adalah satu malapetaka kepada negara sekali lagi, ia lebih menjurus kepada permainan politik daripada perbincangan,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu menurutnya, langkah membawa Pakatan Harapan (PH) ke dalam kancah kerajaan adalah langkah ke belakang kerajaan PN.

"Muhyiddin sepatutnya sudah sedar bahawa semasa beliau dan rakan-rakan lain dalam Pakatan Harapan (PH) banyak perkara berkaitan ekonomi dan rakyat tidak diutamakan, malah PH terus membawa cadangan yang tidak boleh digunakan untuk memajukan negara.

"Cukuplah 22 bulan kita merasai kehidupan yang perit, rakyat dibuang kerja, pelabur asing bawa dana keluar dari Malaysia, petani dan nelayan ditindas," katanya.

Katanya, antara cadangan dan promosi daripada pembangkang ialah Kripto Coin, E-wallet RM30, tanam buluh dan sesudu minyak kelapa sawit dan kereta terbang.

"Sekiranya Muhyiddin berkeras mahu membawa PH ke dalam kerajaan semula, seeloknya dipulangkan jawatan Perdana Menteri itu kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu wawancara secara langsung, Muhyiddin berhasrat mempelawa pembangkang turut serta dalam urusan pembuatan pelbagai keputusan serta dasar berkaitan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM pelawa pembangkang beri cadangan