Dua maut kereta langgar tembok

Iklan
Keadaan kereta dinaiki dua mangsa yang terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di Lebuhraya MRR2 menghala ke Bulatan Batu Caves di sini pagi tadi. - Foto Bomba

KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Bulatan Batu Caves di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian kira-kira jam 7.13 pagi itu menyebabkan pemandu dikenali Choong Wai Kiat, 29, dan penumpang, How Kim Seong, 25, maut di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu laju sebelum terbabas melanggar tembok pembahagi jalan.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa terbalik dan mengakibatkan kedua-duanya tersepit.

Iklan

"Mangsa masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala dan patah leher. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Rahim Mat Nazir berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pihaknya terpaksa memotong pintu kereta terbabit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.35 pagi," katanya.