Banjir Hulu Langat: PPS Kompleks Penghulu Batu 10 dijangka tutup hari ini

Iklan
Edry Faizal menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas banjir.

HULU LANGAT - Pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Penghulu Batu 10 dijangka ditutup hari ini selepas kebanyakan mangsa banjir mula pulang ke rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, penduduk kini sedang dalam proses membersihkan rumah masing-masing selepas air surut sejak semalam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan menggunakan jentera untuk melaksanakan pembersihan terutama mengutip sampah pukal di lokasi terjejas banjir.

"Kebanyakan pembersihan telah dilakukan semalam. Saya berterima kasih kepada beberapa pertubuhan belia tempatan yang turun membantu penduduk.

Iklan

"Bantuan makanan masih diteruskan untuk mengurangkan beban penduduk yang terjejas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, seramai 358 mangsa banjir di Hulu Langat ditempatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai dan PPS Kompleks Penghulu Batu 10.

Iklan

PPS SK Sungai Serai yang menempatkan seramai 293 mangsa membabitkan 66 keluarga telah ditutup lebih awal.

Edry Faizal berkata, taburan hujan sebanyak 165 milimeter semalam menyebabkan beberapa kawasan termasuk Lui, Kampung Perdik, Batu 18, Batu 17, Batu 16, Batu 14, Batu 13, Dusun Nanding, Sungai Serai dan juga Batu 10 terlibat banjir kesan limpahan air dari Sungai Langat.

"Kebanyakan kawasan yang terjejas sudah lama tidak banjir melainkan Sungai Serai dan Batu 10.

"Sebarang cadangan melibatkan pembangunan dan penyelesaian dalam kapasiti negeri akan saya bahaskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini," katanya.