Hanya pelitup muka tiga lapis berkesan, kata MPS

Iklan
Gambar hiasan pelitup muka -Foto 123rf

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menegaskan pelitup muka tiga lapis jenis pembedahan dan perubatan perlu digunakan oleh rakyat di negara ini untuk mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pelitup muka jenis itu juga merupakan sebahagian daripada set peralatan pelindung diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan negara.

Iklan
Iklan

Presiden MPS, Amrahi Buang berkata, pelitup muka tiga lapis yang digunakan dalam perubatan dan kesihatan di negara ini boleh menghalang bakteria dan virus manakala jenis satu dan dua lapis yang terdapat dalam pasaran tidak berkesan untuk mencegah wabak berkenaan.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih lagi mengulangi tindakan yang sama. Mereka memberikan gambaran bahawa pelitup muka jenis surgikal ada tiga jenis iaitu jenis satu lapis, dua lapis dan tiga lapis. Ini tidak benar.

Iklan

"KPDNHEP tidak memberitahu standard pelitup muka. Boleh pihak kementerian atau Sirim Berhad (Sirim) menyatakan standard yang digunapakai di Malaysia? Jika ada standardnya, eloklah diberitahu kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Amrahi mendakwa kementerian juga membuat penetapan harga pelitup muka dengan tidak mengambil kira pandangan peruncit seperti farmasi komuniti.

Iklan

"KPDNHEP sekali lagi mengulangi tindakannya dengan memberikan masa yang suntuk untuk farmasi komuniti bertindak. Apa jadi dengan stok pelitup muka yang baru dibeli beberapa hari lalu, mengapa KPDNHEP tidak memberikan masa yang lebih panjang untuk tindakan.

"KPDNHEP sekali lagi tidak mengambil kira kos logistik untuk Sabah dan Sarawak yang tidak sama dengan harga di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga maksimum pelitup muka tiga lapis jenis pembedahan dan perubatan di peringkat borong dan runcit, masing-masing akan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping, berkuat kuasa awal bulan depan.

Bagi harga maksimum peringkat borong, Nanta Linggi menjelaskan ia diturunkan daripada 95 sen kepada 65 sen seunit manakala di peringkat runcit membabitkan penurunan harga daripada RM1 kepada 70 sen seunit.

Beliau berkata, KPDNHEP membuat kajian semula harga pelitup muka membabitkan pengeluar tempatan dan pengimport selepas mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka secara berterusan.

Harga baharu itu akan berkuat kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bermula pada 1 November 2020.

MPS mempunyai 3,000 keahlian farmasi di seluruh negara.

Amrahi Buang