Petronas Sprinta Racing sedia selamatkan karier KIP

Iklan
Khairul Idham - Foto Petronas SIC

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi (KIP) perlu meraih keputusan positif dalam baki empat perlumbaan Kejuaraan MotoGP Dunia bagi meneruskan karier permotorannya pada musim hadapan.

Prinsipal pasukan Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali menegaskan, mereka bersedia menghulurkan bantuan kewangan kepada pelumba berusia 22 tahun itu untuk kembali beraksi pada Kejuaraan Eropah FIM CEV Moto2 pada musim hadapan, sekiranya bangkit meraih kutipan mata dalam baki empat perlumbaan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak KIP bersama Petronas Sprinta Racing diambil selepas pelumba berkenaan, gagal meraih sebarang mata atau menampilkan prestasi memberangsangkan dalam lapan perlumbaan yang disertainya pada musim ini.

"Pihak Dorna Sports menetapkan pada minggu lalu sebagai tarikh akhir untuk menamakan barisan pelumba untuk MotoGP pada musim hadapan dan kita tidak mahu tunggu sehingga hujung musim ini untuk menamakan pelumba," katanya pada sidang media secara maya bersama media tempatan menerusi aplikasi Google Hangouts, hari ini.

Iklan

Dorna Sports merupakan pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP.

KIP pernah menyertai Kejuaraan Remaja Dunia FIM CEV pada 2015 yang menyaksikan beliau menduduki tangga keenam keseluruhan.

Iklan

Baki empat perlumbaan MotoGP pada musim ini adalah GP Teruel di Litar Aragon, Sepanyol pada 23 hingga 25 Oktober, GP Eropah (6 hingga 8 November) dan GP Valencia di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol (13 hingga 15 November) serta GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve dari 20 hingga 22 November ini.

Petronas Sprinta Racing menerusi satu kenyataan semalam, mengambil keputusan tidak melanjutkan kontrak KIP pada musim depan selepas gagal menyinar dalam saingan Moto3 pada musim ini.

Tempat beliau diisi oleh pelumba dari Afrika Selatan, Darryn Binder daripada pasukan CIP Green Power bagi saingan Moto3 pada musim hadapan menerusi kontrak setahun.

KIP menyertai Petronas Sprinta Racing daripada pasukan Idemitsu Honda Team Asia pada musim lepas.

Sepanjang empat musim bersama pasukan lamanya, KIP memenangi GP Argentina serta GP Jerman dalam saingan Moto3 pada 2016. - Bernama