Suspek samun suri rumah di kedai dobi ditahan

Iklan
Polis berjaya menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun seorang suri rumah di sebuah kedai dobi pada 19 September lalu.

BANTING - Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun seorang suri rumah di sebuah kedai dobi pada 19 September lalu berjaya diberkas polis di sebuah bilik sewa sekitar Jalan Toman 1, Taman Sri Putra di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan menerusi Ops Cantas dilaksanakan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Operasi ini turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Selain itu, semakan lanjut juga mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes dadah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 33 tahun itu dikatakan sedang mencuci baju di sebuah kedai dobi di Jalan Kiambang, Banting sebelum didatangi suspek yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Azizan berkata, suspek telah bertindak menolak mangsa ke mesin basuh dan memukulnya di bahagian kepala serta mengambil telefon bimbitnya selain wang tunai RM150.

Iklan

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.