Program TUBE diteruskan di bawah inisiatif Penjana

Iklan
Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Gambar kecil: Wan Junaidi Tuanku Jaafar

SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan meneruskan pelaksanaan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) melalui inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehingga kini program TUBE telah berjaya melatih seramai 5,766 belia bumiputera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 4,952 iaitu 99 peratus daripadanya telah memulakan operasi perniagaan dalam pelbagai bidang.

"Program TUBE juga telah mencatat jualan terkumpul sebanyak RM127.17 juta dan mewujudkan 10,540 peluang pekerjaan baharu termasuk untuk peserta program TUBE itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Iklan

Menurutnya, dengan dana tambahan berjumlah RM20 juta, permohonan bagi program berkenaan sekali lagi akan dibuka pada tahun ini mulai hari ini sehingga 25 Oktober ini.

"Di bawah inisiatif Penjana, keutamaan adalah pemohon yang telah diberhentikan kerja dan berminat menjalankan perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa.

Iklan

"Seramai 250 peserta disasarkan untuk dilatih menggunakan dana di bawah inisiatif ini,” kata beliau.

Menurutnya, peserta akan diberi pendedahan mengenai kepentingan pengurusan akaun, sumber manusia, inventori dan stok serta adaptasi teknologi dalam perniagaan seperti perniagaan secara dalam talian, kaedah pemasaran melalui media sosial serta transaksi perniagaan secara e-commerce.

"Bagi tahun ini, latihan program ini dilaksanakan secara dalam talian bagi tujuan keselamatan dan kesihatan daripada penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, dengan tempoh latihan yang lebih singkat iaitu tujuh hari, modul latihan diolah sebaik mungkin supaya jelas, mudah difahami dan boleh dipraktikkan terus selepas peserta menamatkan latihan.

Menurutnya, program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 itu bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera.

Belia yang berminat untuk menjadi usahawan boleh memohon program tersebut sebelum tarikh tutup permohonan pada 25 Oktober ini melalui laman sesawang, tube.smecorp.gov.my.