KPDNHEP jamin bekalan barangan, keperluan mencukupi

Iklan
Orang ramai mendapatkan barang keperluan di sebuah pasar raya bagi menghadapi PKPB.

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekali lagi memberi jaminan bahawa bekalan barang makanan serta keperluan mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, jaminan itu telah dibuktikan melalui tindakan kementerian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Iklan
Iklan

"Kementerian mendapat maklumat dari lapangan bahawa telah berlaku pembelian panik di beberapa tempat selepas pengumuman pelaksanaan PKPB dan ia sepatutnya tidak berlaku," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, kementerian mempunyai seramai 2,269 anggota penguat kuasa di seluruh negara yang sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan bagi memastikan bekalan mencukupi.

Iklan

"Selain itu mereka akan pastikan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak," katanya.

Alexander berkata, KPDNHEP menguatkuasakan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua peraturan subsidiari.

Iklan

"Pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan untuk memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi," katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, pengguna dinasihatkan untuk membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tiada keperluan untuk menyimpan stok berlebihan.

"Pengguna juga digalakkan membuat pembelian secara dalam talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan.

"Secara tidak langsung kita dapat membantu memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya ada peniaga yang didapati tidak mematuhi undang-undang, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian.

"Aduan boleh dibuat menerusi portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau aplikasi EZ ADU dan WhatsApp ke 019- 279 4317," katanya.