Kerajaan diminta tidak lepas tangan nasib kakitangan MAS: NUFAM

Iklan
Ismail Nasaruddin

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) meminta kerajaan supaya tidak lepas tangan berhubung nasib kakitangan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Presidennya, Ismail Nasaruddin turut mempersoalkan adakah kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini yang memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan menyuntik lagi dana terhadap MAS sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pemilik tunggalnya iaitu Khazanah Nasional Berhad merupakan keputusan Kabinet dan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Adakah kenyataan tersebut merupakan keputusan muktamad daripada kerajaan? Adakah ia telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet dan adakah ia hanya keputusan daripada pihak Kementerian Kewangan?

"Apa yang boleh saya katakan ialah Khazanah ini ialah Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan ini ialah Khazanah. Adakah semudah itu mahu menutup syarikat penerbangan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi suntikan dana kepada MAB: Menteri

Semalam, Tengku Zafrul berkata, kementerian itu tidak akan menyuntik apa-apa tunai atau modal kepada syarikat penerbangan melalui Khazanah dan mereka perlu merangka langkah sendiri untuk memastikan kelangsungan Malaysia Airlines.

Iklan

Jelasnya, pihaknya tidak pernah memaklumkan mahu menutup syarikat penerbangan itu sebaliknya ia terpulang kepada Khazanah selaku pemilik tunggal.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, apa yang diungkapkan oleh Menteri Kewangan itu seolah-olah tidak selari dengan hasrat kerajaan yang telah dan sedang membantu rakyat serta syarikat di negara ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan pelbagai insentif.

"Mengapa apabila bercakap soal MAS, menteri tidak mahu bantu. Kita rasa ia bercanggah dengan matlamat kerajaan. Sewaktu penstrukturan semua syarikat itu sebelum ini pun seramai 6,000 kakitangan telah dikurangkan atas alasan lebihan pekerja.

"Sepanjang tempoh penstrukturan semula, apa impaknya kepada MAS? Adakah bagi tempoh tiga tahun ini MAS telah membuat keuntungan atau rugi sahaja? Jika mahu menutup sepatutnya empat tahun lepas lagi sewaktu masih banyak peluang pekerjaan kepada kakitangan yang berhenti. Sekarang jika syarikat tutup, bagaimana dengan nasib pekerja," katanya.

Beliau mengakui pandemik Covid-19 telah memberi kesan besar kepada semua syarikat dunia tetapi tindakan seperti mahu menutup tanpa ada pelan jangka pendek dan panjang tidak wajar berlaku.

"Setiap kali keputusan dibuat, pastinya golongan pekerja di bawah ini akan menerima kesan. Saya nak tanya pihak pengurusan masih lagi mengambil gaji dalam tempoh sekarang?

"Ramai pekerja di sini yang terkesan akibat Covid-19. Ramai yang menanggung beban hutang dan pinjaman selepas moratorium telah berakhir. Fikirkan nasib kesemua tenaga kerja MAS," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polemik hala tuju Malaysia Airlines