'Pemimpin kena rapatkan jurang rakyat pelbagai kaum'

Iklan
Musa Hassan
KOTA BHARU – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan pemimpin parti supaya bertanggungjawab merapatkan jurang pelbagai kaum bagi mengelak berlakunya kegusaran dan pergaduhan.

Menurutnya, politik yang berlebihan dan terlalu ‘ghairah’ akan memberi kesan kepada rakyat sedangkan pemimpin sepatutnya menentukan supaya keamanan dan keselamatan rakyat dalam negara tidak tergugat.

"Mereka perlu sedar bahawa mereka perlu rapatkan masyarakat, bukannya timbulkan kegusaran dan pergaduhan. Contohnya, sekiranya kerajaan hapuskan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Jangan lupa, dulu kita sudah hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), jangan biarkan pisang berbuah dua kali.

"Setiap negara mesti ada undang-undang. Kalau tiada undang-undang, polis tidak boleh buat kerja, kalau tidak boleh buat kerja, akan timbul masalah.

"Negara kaya macam mana pun tak guna kalau keselamatan tidak ada,” katanya kepada media di sini.

Beliau hadir di sambutan Hari Integriti Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.