Kanak-kanak didera bapa angkat panas baran

Iklan
Getah paip yang dipercayai digunakan suspek dan keadaan belakang badan kanak-kanak lelaki yang berbirat dan terdapat kesan dera yang diselamatkan polis di Taman Seruling Jaya, Masjid Tanah, Melaka petang tadi.

ALOR GAJAH - Kanak-kanak lelaki yang terpaksa menempuh detik hitam tinggal dengan seorang bapa angkat panas baran sejak dua tahun lalu berakhir apabila diselamatkan polis di Taman Seruling Jaya, Masjid Tanah, di sini petang tadi.

Kanak-kanak malang berusia sembilan tahun dan tidak bersekolah itu didakwa sering menjadi mangsa dera dan pukul oleh suspek berusia 34 tahun dengan menggunakan getah paip.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, bertindak atas maklumat yang disalurkan masyarakat setempat yang prihatin, pihaknya dapat menyelamatkan kanak-kanak malang itu daripada terus menjadi mangsa dera.

"Tindakan pantas dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Masjid Tanah setelah menerima laporan berhubung kejadian dera lebih kurang jam 6 petang hari ini.

Iklan

"Berdasarkan maklumat tersebut, kita telah pergi ke alamat kanak-kanak itu tinggal dan menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa dera lelaki baran terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, siasatan awal juga mendapati mangsa tinggal bersama suspek yang bekerja sendiri bersama ahli keluarga suspek di rumah tersebut selepas ibu mangsa dipercayai tinggal di Cheras manakala bapa mangsa tidak dapat dikesan.

Iklan

Menurutnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kita telah menahan suspek untuk siasatan lanjut dan memohon perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

"Senjata yang dipercayai digunakan iaitu getah paip turut dirampas," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana Mendatangkan Cedera dan Sekyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.