BERITA » Sukan

MPM perhebat cari pelapis Ziyad, Ridzuan

ZURAIMEE ZAINAL

MISI mencari pelapis atlet berkelas dunia seperti Muhammad Ziyad Zolkefli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi diteruskan menerusi Program Pengenalpastian Bakat Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) yang akan menjelajah ke seluruh negara.

Buat permulaan program di Perak menyaksikan sambutan menggalakkan apabila seramai 120 peserta mengambil bahagian melibatkan dua lokasi di Taiping dan Teluk Intan.


Seterusnya misi mencari pelapis berkelas dunia itu akan diteruskan ke beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan sebelum ke pantai timur dan utara tanah air.

Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, usaha itu sedang giat dilakukan pihaknya supaya negara tidak ketandusan atlet Para yang berbakat.

“Kalau kita lihat pada usia 33 tahun Dikwan (Ridzuan) mungkin akan bersara tidak lama lagi, jadi kita perlu atlet setarafnya untuk memastikan MPM terus dipandang tinggi.

“Disebabkan itu, kami mengadakan Program Pengenalpastian Bakat Sukan OKU ini untuk segera mencari atlet-atlet pengganti yang berwibawa.

“Saya yakin dengan dedikasi pasukan MPM tidak mustahil pada hujung tahun 2021 kami akan mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 atlet Para yang baharu di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Program Pengenalpastian Bakat Sukan OKU Peringkat Negeri Perak di Teluk Intan hari ini.

Program anjuran bersama Jabatan Belia Sukan Negeri Perak ini adalah kesinambungan kepada Seminar Pembangunan Sukan OKU dan Kursus Pengenalan Klasifikasi Sukan OKU Peringkat Negeri Perak pada 7 dan 8 Mac lalu.

Terdahulu, program itu yang asalnya dijadualkan pada Mac lalu terpaksa ditangguhkan ekoran penularan Covid-19 yang menyaksikan segala aktiviti sukan dihentikan.

Advertising
Advertising