Buruh dituduh seludup Pati

Iklan
Tertuduh semasa hadir ke Kompleks Mahkamah Pasir Mas.

PASIR MAS - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) di pangkalan haram Lubok, Rantau Panjang pada 17 Januari lalu.

Tertuduh Mohd Syafiq Che Sekrey didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.30 pagi dengan membawa lapan migran Myanmar menggunakan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Iklan
Iklan

Tertuduh hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan selesai dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Nazri Ismail.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan, Nor Kamilah Mohammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan penyeludupan terhadap lapan migran lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.