Calon PN DUN Petagas tidak kisah digelar ‘YB Parit’

Iklan
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) bersama calon Perikatan Nasional N23 Petagas Datuk Seri Arsit Sedi pada Majlis Ramah Mesra pada kempen Pilihan Raya Negeri Sabah di Dewan Terbuka Kampung Ulu Putatan semalam. -Foto Bernama

KOTA KINABALU - Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas mewakili Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Arsit Sedi @ Sidik langsung tidak tersinggung atau terasa hati apabila digelar ‘YB (Yang Berhormat) Parit’ kerana sering memperjuang isu perparitan di kawasan yang ditandinginya itu.

Ketua Bersatu Bahagian Putatan itu berkata, ‘usikan manja’ penduduk di kawasan tersebut menjadi satu motivasi supaya beliau terus dapat membantu mencari jalan penyelesaian berkaitan isu perparitan yang dilihat kurang ditangani dengan baik sejak dua tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Ada beberapa kawasan sering dinaiki air dan banjir kerana faktor hujan serta sistem perparitan yang tidak betul. Ada kawasan alur sungai yang tidak didalamkan seperti Sungai Petagas.

"Jadi dua perkara itu antara agenda di DUN ini yang perlu diselesaikan jika ingin mengubah nasib penduduk. Isu perumahan yang lebih teratur juga perlu diperjuang seperti pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu golongan memerlukan,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, penduduk dan pengundi berhak mendapat akses kepada keperluan asas seperti sistem perparitan yang teratur, PPR dan infrastruktur jalan lebih baik, justeru itu mereka perlu membuat pilihan tepat pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 Sabtu ini.

Arsit berkata, pilihan adalah di tangan penduduk untuk mengubah nasib mereka bagi menjalani kehidupan lebih baik dan berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Pusat.

Iklan

Lebih 14,000 pengundi akan menentukan siapa wakil rakyat Petagas dalam pertandingan enam penjuru yang menyaksikan Arsit dicabar calon PCS Ahmad Farid Sainuri, Datuk Awang Ahmad Sah (Warisan), Jecky Lettong @Thaddeus Jack (LDP), Mohamad Kulat (Parti Gagasan Rakyat Sabah) dan calon Bebas Paulis Nointien.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Uda Sulai daripada Warisan meraih kemenangan di kawasan itu dengan majoriti 208 undi menewaskan dua pencabar lain. - Bernama