Kes dadah di tiga kawasan PPR meningkat

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Penyalahgunaan dadah di tiga kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Gombak Setia, Sungai Bonus dan Kampung Baru Air Panas menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 219 kes bagi tempoh Januari hingga bulan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, sebanyak 82 kes dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Tiga jenis dadah yang menjadi bekalan bagi golongan berpendapatan rendah di kawasan itu membabitkan heroin, syabu dan ganja. Oleh itu, kawasan berkenaan dipilih menyertai projek perintis membasmi dadah secara bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program ‘We Love, We Serve, We Hope’ di Gombak dekat sini oleh Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah hari ini.

Iklan

Saiful Azly berkata, Jabatan Narkotik Kuala Lumpur dan Bukit Aman akan terus melakukan operasi tangkapan melibatkan dadah dengan lebih mendadak, agresif dan efektif secara berkala.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sebanyak empat daripada 12 kawasan menerusi projek rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu itu masih diklasifikasi kawasan merah atau mempunyai kadar jenayah tinggi khususnya dalam masalah penyalahgunaan dadah.

Iklan

Beliau berkata, kawasan berkenaan meliputi pulau peranginan Langkawi; Petaling Jaya Selatan di Selangor; Pengkalan Chepa, Kelantan dan Kuala Dungun, Terengganu.

Zulkifli berkata, berdasarkan pelaksanaan projek itu, empat kawasan berkenaan kekal dengan status merah berikutan ada beberapa indikator yang belum dipenuhi sebelum ia boleh berubah kategori warna kuning atau hijau.

"Ia termasuk pembekalan dadah dapat disekat, bagaimana berdepan golongan penagih dadah itu selain cara individu yang mengambil dadah di kawasan itu dapat disantuni atau dibawa masuk ke pusat untuk rawatan selain ditahan bagi tindakan rawatan pemulihan secara mandatori," katanya.

Projek rintis itu diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula Julai tahun lepas yang kemudiannya akan dinilai keberkesanannya menjelang akhir tahun ini sebelum model berkenaan digunakan di lokasi lain di seluruh negara.

Sebanyak 12 kawasan telah terbabit dalam projek rintis itu iaitu Petaling, Sungai Besar dan Felda Gugusan Hulu Selangor, Selangor; PPR Sungai Bonus, Kuala Lumpur; Felda Keratong 3, Pahang; Kuala Dungun, Terengganu; Felda Lubuk Merbau, Kuala Kedah dan Langkawi di Kedah; Pengkalan Chepa, Kelantan serta Perling dan Parit Sulong di Johor. - Bernama