Lesap lebih RM200,000 selepas dedah 17 nombor OTP

Iklan
Aibee Abd Ghani

SEREMBAN - Seorang pekerja swasta berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM209,996.25 lesap selepas diperdaya dengan sindiket Macau Scam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, semuanya bermula selepas wanita berusia 48 tahun itu diberitahu mempunyai hutang kad kredit.

Iklan
Iklan

"Mangsa telah dihubungi individu yang memberitahu dari sebuah bank dan menyatakan mangsa mempunyai hutang kad kredit dan perlu menjelaskannya.

"Namun mangsa menafikan dan talian telah disambung ke Bank Negara untuk membuat laporan mengenai kad kreditnya," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, selepas laporan dibuat mangsa telah disambungkan pula kepada seorang anggota polis lelaki kononnya dari Jabatan Siasatan Jenayah yang kemudian meminta nombor kad pengeluaran wang automatiknya.

Beliau berkata, mangsa turut diminta menghantar 17 nombor pas pengesahan transaksi (OTP) yang diterima melalui mesej di telefon.

Iklan

"Selepas tamat panggilan mangsa telah membuat semakan dan mendapati wang dalam dua akaunnya berjumlah RM209,996.25 telah hilang," katanya.