17 usahawan BiCEP terima geran

Iklan
Othman (belakang, lima dari kiri) bersama penerima geran pada Majlis Penganugerahan Geran Keusahawanan kepada peserta Bilut-CIMB Islamic Entrepreneurship Programme (BiCEP) di Shah Alam kelmarin.

SHAH ALAM - Seramai 17 usahawan daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Bilut, Pahang mendapat geran keusahawanan keseluruhan berjumlah RM250,000 melalui Program Keusahawanan Felda Bilut-CIMB (BiCEP) bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emiritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, program yang dikendalikan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) itu bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan daripada Felda untuk menjalankan perniagaan secara formal.

Iklan
Iklan

"UiTM berperanan sebagai pelaksana program melalui modul keusahawanan yang dibangunkan secara holistik dan inklusif serta disesuaikan mengikut acuan kapasiti keperluan semasa usahawan Felda Bilut.

"BiCEP juga adalah penyelesaian bagi masalah capaian kepada institusi kewangan untuk mendapatkan modal apabila CIMB Islamic tampil menawarkan diri untuk membiayai program ini melalui perlaksanaan tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Peserta BiCEP yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Banking, Ahmad Shahriman Mohd Shariff di Hotel Grand Blue Wave di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Urusan Felda, Datuk Dr Othman Omar; Dekan FKA, Profesor Dr Zakiah Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Iklan

Mohd Azraai turut melahirkan keyakinan bahawa pendekatan akademik berasaskan ilmu pengetahuan yang diterapkan itu mampu mengurangkan jurang pengetahuan serta merangsang pemikiran lebih kreatif dan inovatif dalam kalangan usahawan BiCEP.

"Jadi kita berharap melalui geran ini, matlamat kita untuk mempertingkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana serta sosioekonomi dalam kalangan mereka dan masyarakat dapat direalisasikan.

"Selain itu, program ini juga dijangka mampu mengurangkan risiko migrasi peneroka generasi kedua, ketiga dan seterusnya dari Felda ke bandar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Othman menyifatkan program BiCEP merupakan satu usaha baik kepada usahawan Felda bagi mendedahkan mereka dengan dunia perniagaan.

"Malah kerajaan turut memperuntukkan geran sebanyak RM1 bilion melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) bagi meningkatkan hasil ladang dan pendapatan peneroka melalui perniagaan diusahakan mereka,” katanya.

Sementara itu seorang peserta, Wan Siti Aminah Omar, 38, menyifatkan geran berjumlah RM12,000 diterimanya itu sedikit sebanyak mampu mengembangkan lagi perniagaan ‘cookies’ dan ‘ice blended’ yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Katanya, selain itu program BiCEP yang disertainya itu juga banyak memberi pendedahan kepada dunia perniagaan sebenar dengan mencakupi pelbagai aspek bermula daripada pemasaran sehingga pengurusan kewangan.